SELAMAT MENGUNJUNGI WEB BLOG SKAWAN

19 Jun 2011

CINTA KELAKAR....

          Dalam kesuraman ultra lembayung tika tujuh bulan menumpahkan   cahaya di bawah kaki langit khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan eurika nostalgia cinta lama yang kita palitkan berdua. Kehadiranmu bersama molekul-molekul hidrogen menerjang segala kekusutan yang membelit tali perutku.

 Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti rindu gelora dan syahdu. Kau juga mengajarku erti cinta, singa laut, beruang kutub, penguin, kambing salji, mee rebus, cendol, koridor, kotak pensil, tali kasut dan pasu bunga. Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Shizuka. Kau dan aku umpama Kurt Cobain dan Rafeah Buang yang tidak dapat dipisahkan.

Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet Ziku itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan seluruh penternak lipan di Burma. Kau pergi jua ketika Kuala Lumpur sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.
           Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada penebangan pokok getah secara besar-besaran di Lembah Kelang. Pemergianmu menyebabkan aku menghidap penyakit resdung dan Hepatitis-Q secara mengejut.
Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai langkah keselamatan. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Aku bagaikan tergelincir dari orbit bumi dan terpelanting ke ruang angkasa, apabila daya tarikan graviti terhadapku tiada lagi berfungsi setelah aku tersungkur dalam percintaan yang berlarutan hingga ke rubber-set. Seluruh perjalanan hidupku menjadi gelita bagaikan terperangkap di dalam gua yang gelap dan ditemani stalagtit dan stalagmit yang bagaikan sembilu.
           Kondominium cinta yang kita bina dari makgat basikal dan kipas helikopter akhirnya musnah setelah kau berpaling tadah. Ternyata sikapmu mulai berubah bila Malaysia mula melancarkan satelit MEASAT-1 ke ruang angkasa raya. Sejak itu kau sering melarikan diri bila terserempak dengan abang iparku. Akhirnya aku menyedari bahawa diri ini tidak diperlukan lagi.
          
Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik untuk mengisi masa lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang rumah agar nampak lebih cantik. Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk mengenangkan dirimu yang entah ke mana menghilang. Aku cuba bermain
badminton sambil makan mi hailam untuk melupakanmu, tetapi aku tak berdaya. Lalu aku membakar mesin basuh dan membelasah empat ekor itik serati jiran sebelah sebagai tanda aku tidak bersalah.
           Mengapa? Mengapa sayang? Mengapa ini semua bisa terjadi? Mengapa setelah kau curi hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku sehingga kau terbunuh dalam kemalangan cinta yang ngeri.

           Aku bagaikan terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni batu yang kau timpakan di atas belakangku. Derita yang kau timpakan itu adalah bebanan yang terlalu berat untuk ku tanggung bagaikan mendukung 75 ekor biawak dan 386 ekor anak beruk. Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku terjatuh dari Menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Berkembar Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT dan kemudiannya digilis pula keretapi Komuter hingga aku hancur berkecai. Oh! Terlalu berat dugaan yang ku tempuhi kini.
           Kini segalanya telah pun berakhir. Aku sedar siapa aku. Aku hanya insan biasa yang suka makan mi segera.  Aku bukan MacGyver, McDonald's, Superman atau Kesatria Baja Hitam.  Aku juga bukanlah Ultraman seperti yang kau idam-idamkan.  Aku menyedari kekurangan diri dan kekurangan kemudahan awam di tempat sendiri. Tak perlu dikesali lagi kerana nasi telah menjadi capati dan tin sardin yang ku genggam ini telah pun luput tarikhnya. Segalanya sungguh mengharukan dan semua hadiah pemberianmu termasuk enjin kapal selam telah pun aku cincang untuk dibuat makanan lembu.
           Walaupun segalanya telah pun berakhir, di sini, di atas pokok getah ini aku tetap menunggu kau akan kembali. Selagi ada nafas ini, selagi ada kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada kedai kasut selipar di sekitar Argentina, selagi kumpulan Metallica tidak berpecah, aku tetap menunggumu sehinggalah mentari terbelah lapan. Namun aku menyedari bahawa penantianku hanyalah sia-sia belaka. Akhirnya aku mengambil keputusan muktamad untuk menunggu tiang elektrik di hadapan rumahku berbuah. Kalau tiang elektrik berbuah nanti, aku poskan buahnya kepadamu. Nak tak?

16 Mei 2011

Pengumuman Sempena Hari Guru 2011 oleh PM

KUCHING 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.


"Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.


Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.


Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.


"Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.


Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.


Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.


"Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan," katanya. - Utusan

20 April 2011

MTQ Peringkat Bahagian Sri Aman

Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat bahagian Sri Aman telah diadakan dgn jaya pada:


Tarikh : 20 April 2011

Tempat : SK Agama, Sri Aman